Thursday, May 31, 2012

Sinopsis Desa Salji by Yasunari Kawabata

*Please do not cite, circulate, or copy without permission of the author.

Bahagian 1
Novel Desa Salji diterjemah oleh Ainon Abu Bakar daripada karya hasil penulisan Yasunari Kawabata, Yukiguni. Novel ini mengisahkan tentang cinta tidak kesampaian yang dialami oleh watak-watak utamanya iaitu Shimamura, Komako serta Yoko.
Novel ini dimulakan dengan adegen dalam kereta api, semasa Shimamura dalam perjalanan ke desa salji. Dia terlihat seorang gadis yang sangat menawan di dalam kereta api tersebut. Gadis tersebut bersama-sama dengan seorang lelaki sakit yang kelihatan seperti suaminya. Gadis bernama Yoko itu melayan lelaki tersebut dengan baik sekali.
Apabila tiba di desa salji Shimamura mengambil teksi untuk ke rumah tumpangan. Dia bertemu pula dengan Komako, seorang gadis yang sudah hampir tujuh bulan/ 199 hari (m/s 45) tidak ditemuinya. Gadis itu sudah menjadi geisha kerana dia dilihat berbedak tebal serta skirt kimono yang dipakainya labuh meleret ke lantai. Mereka berdua beriringan ke bilik Shimamura (m/s 14). Mereka mula mengimbas kembali ketika mereka bertemu buat pertama kali.
Imbas kembali (m/s 16): Komako bukannya seorang geisha namun dia sering membantu di majlis-majlis keramaian. Pembantu rumah tumpangan telah memanggil Komako untuk melayan Shimamura kerana geisha yang ada sangat sibuk sekali untuk majlis pembukaan sebuah jalan. Komako dilihat Shimamura sebagai seorang yang sangat suci dan bersih. Dia tidak sampai hati meragut kesucian Komako dan mahu berkawan dengan lebih lama dengan Komako. Jadi dia telah menyuruh Komako mencarikannya seorang geisha lain. Komako marah padanya walaubagaimanapun dia mencarikan juga seorang geisha untuk Shimamura. Namun geisha tersebut tidak menarik di mata Shimamura.
Namun pada satu malam, Komako telah masuk ke bilik Simamura dalam keadaan mabuk. Dia mengatakan perkara-perkara yang tidak masuk akal. Saya berpendapat Komako mahu Shimamura melayan kerenahnya yang ketika itu separuh sedar. Perasaan Komako seolah-olah berbelah bahagi samada mahu menyerahkan dirinya atau pun tidak.dan Shimamura faham akan kehendak Komako. Akhirnya Shimamura telah menariknya ke atas katil (m/s 38, 39). Saya berpendapat mereka telah mengadakan hubungan seks walaupun tidak dinyatakan dengan jelas oleh Yasunari Kawabata. Kemudian Shimamura berangkat pulang ke Tokyo. (Imbas kembali tamat)
Mereka kemudian bercerita tentang diari, novel, filem dan drama. Komako telah ikut Shimamura ke kolam mandi (m/s 49) dan pada pagi-pagi buta, Komako pulang ke rumahnya. 
Keesokan harinya Shimamura bertemu Komako dan bertanya tentang Yoko dan memberitahu dia amat tertarik dengannya (m/s 56). Komako tidak menjawab soalan Shimamura dan berpendapat bahawa Shimamura seorang yang pelik. Mereka kemudian pergi ke rumah Komako di mana Shimamura sekali lagi bertemu dengan Yoko (m/s 60). Semasa pulang dari rumah Komako, Shimamura menahan seorang tukang urut untuk mendapatkan khidmat urutannya. Daripada tukang urut tersebut, dia mengetahui bahawa Yukio, lelaki sakit yang dijaga Yoko itu merupakan tunangan Komako.
Suatu mesyuarat diadakan di rumah tumpangan yang mana Komako dijemput hadir (m/s 67). Komako duduk di bilik Shimamura dan bermalam di sana selama tiga hari. Mereka bercerita tentang hubungan Komako dan Yukio. Yoko menghantar samisen Komako ke rumah tumpangan (m/s 74). Komako bermain alat muzik tersebut sambil berbual dengan Shimamura. Semasa Shimamura pergi ke stesen kerata api untuk pulang ditemani Komako, tiba-tiba Yoko datang kepada mereka dan memberitahu bahawa Yukio sedang nazak. Namun Komako tidak mahu pulang kerana menurutnya, dia tidak mahu melihat orang mati. Komako telah menolak Yoko hanya kerana dia meminta izin kepada Shimamura untuk membenarkan Komako pulang.

Bahagian 2
Selepas hampir setahun (m/s 104), Shimamura kembali ke desa salji. Dia sepatutnya kembali semasa Pesta Buru Burung namun dia telah mungkir pada janjinya kepada Komako itu. Shimamura mendapat tahu Yukio sudah mati (m/s 101). Kemudian, mereka bercerita tentang Kikuyu yang baru bersara (m/s 104), bercerita tentang tempat tinggal Komako yang baru iaitu rumah geisha yang sebenar (m/s 109), tentang kesihatan Komako dan tentang Yukio (m/s 114).
Esoknya, Shimamura bertanya tentang Yoko kepada Komako dan Komako menjawab bahawa Yoko banyak menghabiskan masanya di pusara Yukio (m/s 117). Shimamura pergi bersiar-siar di sekitar kampung selepas Komako meninggalkannya. Saya berpendapat Shimamura mahu pergi mencari Yoko. Shimamura terlihat Yoko di pusara Yukio (m/s 118).
Keesokan harinya apabila terjaga daripada tidur, Shimamura melihat Komako sedang duduk di sisinya. Mereka kemudian pergi ke pusara dan terserempak dengan Yoko (m/s 128). Komako mengatakan bahawa dia ingin mencuci rambutnya kepada Yoko dan berlalu pergi bersama Shimamura. Shimamura bertanya sama ada Yoko tinggal bersendirian kepada Komako dan ini membuatkan Komako melenting.
Semasa sebuah parti diadakan di rumah tumpangan, Yoko telah menghantar surat Komako kepada Shimamura. Shimamura berkesempatan untuk berbual-bual dengan Yoko (m/s 143). Shimamura berkata “ Menurut Komako engkau seorang yang sungguh cemburu. Bukankah lelaki itu tunangannya?” dan Yoko menjawab “ Yukio? Dusta. Dusta.”.
Shimamura berfikir tentang kain chijimi dan seolah-olah menyamakan chijimi dengan Yoko (m/s 162- 166). Dia terdengar bunyi bayu jauh dan dentingan loceng yang samar-samar. Dia melekapkan telinganya ke sebuah cerek untuk mendengar. Kemudian tiba-tiba dia dapat melihat kaki Komako berlari-lari anak ikut dentingan loceng. Berdasarkan pengenalan (m/s xviii) saya berpendapat ketika ini, Shimamura sedang mengimbas kembali kejadian kebakaran gudang kokun yang telah berlaku dan dentingan loceng tersebut merujuk kepada bunyi amaran kebakaran gudang yang dia dengar semasa malam kejadian.
Imbas kembali: Semasa pulang dari kawasan chijimi menaiki teksi, Shimamura singgah ke restoran Kikumura dan bertemu Komako. Tiba-tiba amaran api berbunyi (m/s 175). Rupa-rupanya gudang kokun sedang terbakar. Mereka bergegas ke gudang tersebut. Komako begitu cemas sekali. Orang ramai melihat tubuh seorang perempuan jatuh ke tengah-tengah nyalaan api. Rupa-rupanya tubuh itu milik Yoko. Komako berlari mendapatkan jasad Yoko yang kaku dan mengangkatnya keluar daripada kawasan kebakaran itu. Dia merintih sayu.